Oleh Tok Pijat

Teringat saya 19 tahun dulu, dikala PAS menyapu bersih kerusi 32-0 dalam PRU 1990. PM ketika itu, Dr Mahathir mengulas kekalahan teruk UMNO Kelantan dengan mengatakan dalam masa 20 tahun, jangan mimpi UMNO Kelantan boleh rampas Kelantan.

Kini sudah sudah 19 tahun, PAS memerintah Kelantan. Dan tinggal 12 bulan lagi untuk PAS "selamat" dari kekalahan di Kelantan.
Kini anak-anak didik UMNO Kelantan, semasa UMNO tumpas 19 tahun sudah besar panjang. Dulu mereka berada di KEMAS, kini sudah lulus Universiti dan menjadi anak muda yang berjiwa baru.

Tinggal 12 bulan lagi, kata-kata ( sumpahan?)Dr Mahathir akan berakhir.

www.tokpepijat.blogspot.com

Senyum Hari Ini

Dewan Negeri Selangor Lulus Belanjawan Tambahan RM392 juta(Klik)

SHAH ALAM, 9 Nov - Dewan Negeri Selangor hari ini bersetuju meluluskan belajawan tambahan sebanyak RM392 juta apabila Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengutip hutang tertunggak anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada syarikat Talam Corporation.

Pendekatan yang diguna pakai MBI ialah dengan membeli semua hutang milik beberapa anak syarikat kerajaan negeri itu dalam bentuk geran.

Dengan cara ini MBI boleh mengambil alih pengutipan hutang serta pemilikannya iaitu KDEB, UNISEL dan PNSB daripada kumpulan Talam melalui projek pembangunan hartanah sejak 10 tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengutipan hutang tersebut dijangka boleh dibuat dalam tempoh 3 bulan dalam pemantauan Dewan Negeri Selangor.

“Kerajaan negeri mengakui bahawa terdapat penambahan pendapatan negeri di dalam akaun yang disatukan berjumlah RM392 juta, duit RM392 ini adalah hasil daripada hutang-hutang yang dilakukan oleh kumpulan Talam, syarikat-syarikat dalam kumpulan Talam yang mana hutang-hutang ini sudah dipersetujui yang Talam ini sudah berhutang kepada syarikat-syarikat ini dan syarikat-syarikat seperti Kumpulan Darul Ehsan, Unisel dan PNSB yang dikumpulkan berjumlah RM392 juta telah diserahkan untuk milikan kerajaan negeri”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Tan Sri Khalid menambah, Barisan Nasional sebelum ini gagal membuat kutipan hutang beberapa anak syarikat kerajaan negeri dengan baik sebaliknya mereka menyalahgunakan pendapatan anak syarikat untuk perbelanjaan Balkis dan lawatan ke luar negara.

Bagaimanapun katanya usaha berterusan Kerajaan Pakatan Rakyat memastikan hutang-hutang lapuk kerajaan negeri dapat disegerakan kutipannya apabila penstrukturan semula kewangan anak-anak syarikatnya dapat dilakukan.


" IKUTI VIDEO PILIHAN MINGGU INI"

P/S: Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Polis hanya menerima arahan. Daripada SIAPA arahan tersebut?

Sunday, 3 May 2009

Kajian Berkenaan Hak Penjagaan Anak dan Status Agama Anak (Kes Mohd Ridzuan Abdullah@K. Patmanathan)



Syed Abdul Kadir Aljoofre, Hairul Nizam Mat Hussain, Abd Rahman Mohd Tharin, dan Mohd Nazrul Abd Nasir
MANHAL PMRAM*

1. PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

  1. Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).
  2. Hak penjagaan anak.
  3. Status perkahwinan selepas pengislaman.

2.
STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.

Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1]
.

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy[4].

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.


3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang kafir tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه


Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut). Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).[5]

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalahtamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.


4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI


4.1 Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya). Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 Hak Pemberian Nafkah[11]

1. Nafkah kepada anak
a. Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.

2. Nafkah kepada isteri
a. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

*************


Hasil Kajian:

Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre (Pengerusi Fellow MANHAL PMRAM, dan juga Ketua Moderator Agama Forum Iluvislam.com)

Al-Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin (Moderator Agama Forum Iluvislam.com)

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Hussain

Al-Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir


*Note: Artikel ini adalah HakCipta Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasil Penyelidikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (MANHAL PMRAM). Artikel asal di SINI



[1]
Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.

[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.

Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.

Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.

[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah

[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.

[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985

[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.

[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.

[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.

[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.


Glosari:

Fuqaha- kata jamak untuk Faqih, seorang yang pakar dalam ilmu fiqh; golongan pakar Fiqh
Fasakh- memutuskan pernikahan, perkara ini hanya boleh diputuskan apabila pihak isteri membuat pengaduan kepada Mahkamah dan Hakim mensabitkannya setelah perbicaraan
Iddah- suatu tempoh selepas penceraian bagi si perempuan sebelum dia boleh berkahwin lagi sekali.




www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1611







No comments:

Apakah peranan anda sebagai seorang muslim yang benar-benar cintakan Islam?